Sunday, December 5, 2010

*****Moge ceria & salam perpisahan kepada UUM*****



Assalamualaikum...
Selama beberapa hari sibuk ngadap buku, akhirnya dpt 1 idea nak post something kat blog ni. Maklum jelah...skrg ni smua org sibuk dgn exam final sem...
Pejam celik dah pon sem last....alhamdulillah....masa sem 3 bukan main lg x sabo nak abes...siap bermonolog dalam hati ni "bila lah nak abes ni?"
Bila barang2 da siap packing, kwn2 pon ada yg da ucap selamat tinggal...rasanya lain cam pulak...sayu + sedih + mengelamun = x terkata2. Banyak kenangan pahit & manis sepanjang kat UUM. Rasanya baru semalam melangkah masuk UUM. Teringat hari pertama masuk UUM, cam2 hal yg berlaku. Pnah gak tersalah masok claz. Ada 1 kenangan yg x dpt dilupakan....masa 2 time bulan puasa. waktu tengah hari, on the way nak g claz tutorial management, first time puasa kat ngeri org, dah 2 g claz ikut laluan library. Terpandang sorg budak chinese girl bw air asam boi dengan ais yg cair diluar botol air. Dah lah tgah hari + pnas = rasa cam nak ptah balik & buka puasa je...Tp alhamdulillah...semangat masih kuat...iman masih memandu nafsu mkan...puasa lah diri ni smpai ke waktu berbuka puasa....masa 2, baru je sem 1.
Kenangan pahit lak cam2.....biasanya masalah assignment dgn group....bila time wat assignment group, biasanya mmg ada je masalah yg dtg...adoi....mmg fenin...pusing kpala...tp bila di kenang smula...mmg nak tergelak sorg2...mula2 kenangan pahit tp bile ingat2 balik...jd kenangan manis lak...
Ape yg penting.....blajar ni kne niat ikhlas kerana Allah S.W.T.....Ilmu yg ada pd kita ni x da ar byk mana pon....manusia yg paling bijak kat muka bumi Allah S.W.T ni, ilmu yg ada pd nya hnyalah setitik air di 7 lautan  *********
So, kpd sesiapa yg masih lg blajar....truskan usaha anda hingga jayanya...
jgn setakat melukut di tepi gantang.....
akhir kata...selamat blajar smua.....
"TUNTUTLAH ILMU SEHINGGA KE LIANG LAHAD"
'JIKA KAMU INGINKAN AKHIRAT, MAKA KAMU HENDAKLAH MEMPUNYAI ILMU 
& JIKA KAMU INGINKAN DUNIA MAKA KAMU HENDAKLAH MEMPUNYAI ILMU'


Saturday, December 4, 2010

*****Menyusuri Sunnah Perkahwinan*****

Berkahwin merupakan sunnah Nabi Muhammad saw. Berkahwin juga merupakan sebuah peristiwa sosial dan episod permulaan bagi seseorang manusia dalam meniti proses kedewasaannya namun ada juga yang menunda perkahwinan dengan pelbagai alasan.

Di zaman di mana keruntuhan moral semakin meruncing, perkahwinan sepatutnya perlu dijadikan sebagai institusi yang boleh menyelesaikan sebahagian masalah tersebut di mana perkahwinan itu mungkin perlu disegerakan. Namun ternyata yang berlaku adalah sebaliknya.

Dewasa ini, jika ada seseorang ditanya apakah ia sudah bersedia untuk berkahwin?

Ramai yang menjawab dengan ukuran-ukuran kebendaan atau keduniaan misalnya seperti :
  1. Jika saya sudah mempunyai pekerjaan.
  2. Jika saya sudah mempunyai wang yang cukup.
  3. Jika saya sudah mempunyai rumah.
Apakah semua itu memang perkara-perkara terpenting untuk dipersiapkan oleh mereka yang akan berkahwin?

Ramai juga di kalangan mereka yang bujang yang sudah memiliki itu semua bahkan sesetengahnya sudah mempunyai jumlah dan kualiti kebendaan yang lebih dari mencukupi namun ternyata mereka mengaku masih belum bersedia untuk berkahwin.

Jadi apa yang membuatkan seseorang merasa belum bersedia untuk berkahwin?

Persediaan untuk berkahwin adalah masalah persediaan mental. Berkahwin merupakan langkah penting yang oleh Nabi saw dikatakan sebagai bernilai"separuh agama". Seseorang yang melaksanakan perkahwinan :
  1. Akan mengalami berbagai kecepatan dalam kehidupannya.
  2. Sifat kematangan keperibadiannyapun akan lebih cepat dapat diwujudkan.
Dalam budaya kita, jika seorang anak yang sudah berkahwin akan lebih dihargai dalam keluarga besarnya dibandingkan dengan adik beradiknya yang belum berkahwin.

Apakah seorang pemuda memang sebaiknya segera berkahwin ataukah sebaiknya menunda sehingga "lebih bersedia" atau "lebih matang"?

"Lebih bersedia" atau "lebih matang" adalah sesuatu yang sangat relatif.
Sebahagian dari keraguan seseorang untuk melangkah ke jinjang pernikahan sebenarnya disebabkan oleh prasangka-prasangka yang belum tentu benar.
Bahkan di kawasan bandar, usia perkahwinan anak muda semakin lambat seolah-olahnya semakin tinggi pendidikan dan taraf hidup seseorang justeru semakin meningkat keraguan untuk melaksanakan perkahwinan.
  1. Adakah semestinya “trend’ itu begitu atau mengapa berlaku demikian?
  2. Apakah sebenarnya halangan yang dihadapi?
Mungkin asas-asas berikut boleh dijadikan renungan :

PERTAMA : FAHAMILAH BAHWA BERKAHWIN ITU ADALAH SUNNAH NABI SAW.
Dengan pemahaman bahwa berkahwin adalah sunnah, seharusnya tidak ada lagi yang sanggup mengatakan :
  1. Tidak suka.
  2. Tidak mahu.
  3. Tidak penting.
Mempersiapkan mental untuk menerima perkahwinan kadang-kadang memang agak sukar bagi orang-orang yang tertentu, tapi demi kebaikan dirinya sendiri, sebaiknya tidak usah ada perasaan benci kepada perkahwinan.

Secara umumnya mereka yang menolak perkahwinan berkemungkinan pernah menghadapi trauma di atas peristiwa-peristiwa perkahwinan yang pernah dilihatnya.
Sebahagian lagi menunda-nunda perkahwinan disebabkan oleh terkena berbagai prasangka tadi.
Ada pemuda yang khuatir tidak dapat menyediakan makan minum isteri dan anak-anak, ada juga pemudi yang enggan melangkah ke jinjang perkahwinan kerana khuatir pendidikannya terganggu.

Tidak mungkin Nabi saw yang mulia mencontohkan sesuatu yang tidak baik bagi kita sebagai umatnya.

KEDUA : KENALILAH DIRI SENDIRI.
Kita berada di titik mana? Secara umumnya berkahwin adalah sunnah Nabi saw yang sangat dianjurkan bahkan hampir wajib.
Namun dalam penerapan hukumnya, kadang-kadang seseorang pada suatu masa boleh dikategorikan seperti berikut :
  1. Sudah wajib berkahwin.
  2. Sunnah (lebih baik) jika segera berkahwin.
  3. Kurang baik jika berkahwin segera.
  4. Mungkin juga seseorang pada ketika tertentu dianggap tidak baik atau haram berkahwin.
Maka kenalilah diri kita termasuk dalam kategori yang mana.
a.       Jika seorang itu merasa senang dengan pembicaraan tentang perkahwinan atau termasuk yang tidak mampu menahan syahwatnya begitu juga mungkin ia sudah cukup matang dan bersedia maka ada kemungkinan ia sudah wajib untuk berkahwin.
b.      Jika seorang itu mempunyai jiwa yang tidak stabil dan emosinya tidak menentu seperti anak kecil walaupun terhadap perkara-perkara yang remeh, mungkin ia sebaiknya memperbaiki dirinya dahulu sebelum mengajak orang lain hidup bersamanya.
KETIGA : PERLUASKAN WAWASAN DAN INFORMASI YANG BENAR TENTANG PERKAHWINAN.
Jangan bertanya tentang perkahwinan kepada orang-orang yang mempunyai pengalaman perkahwinan yang pahit.
Pengalaman seseorang tidak semestinya akan dialami oleh semua orang. Bahkan setiap pengalaman buruk sebenarnya boleh dianalisa dan yang paling penting, berdoalah agar pengalaman buruk orang lain itu tidak berlaku kepada diri kita.

Mencari informasi juga dapat dilakukan dengan membaca berbagai buku yang berkait dengan perkahwinan. Jika dalam buku-buku tersebut ditemui berbagai pengalaman indah atau berbagai harapan indah tentang perkahwinan, maka akuilah hal itu.

Namun hidup tidak selalu seperti "taman bunga", ada masa indah dan ada juga masa sukar. Bersikap positif dan realistik insyaallah akan bermanfaat dalam menghadapi ujian mahupun nikmat hidup ini.

Sebaliknya jika mendapatkan informasi yang merimaskan hati, hendaklah kita sentiasa bersikap optimistik dan bertawakkal kepada Allah swt, InsyaAllah selamat.

KEEMPAT : CARILAH INFORMASI SEBANYAK-BANYAKNYA TENTANG TUGAS DAN KEWAJIBAN MASING-MASING PIHAK DALAM PERKAHWINAN.
Semakin banyak yang kita ketahui semestinya akan membuatkan kita semakin bersedia untuk melangkah.
Namun harus difahami juga bahwa sentiasa ada proses penyesuaian atau peralihan. Proses adalah sunnatullah dan segala sesuatu ada prosesnya dan penyesuaian juga merupakan sunnatullah dalam hidup.

KELIMA : PERMUDAHKANLAH URUSAN PERKAHWINAN INI.
Ini amat bersesuaian dengan perintah Allah swt dalam Al Qur'an yang berbunyi :
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui. (QS Nur : 32)


Dengan adanya perintah yang sedemikian jelas, tidak ada alasan bagi para ibubapa ketika jodoh sudah datang bagi anak-anaknya sementara ia masih sahaja menunda-nunda pelaksanaan perkahwinan mereka.

Ya Allah, sesungguhnya kami memahami bahwa perkahwinan adalah sunnah RasulMu, maka permudahkanlah segala urusan perkahwinan bagi para ibubapa dan juga anak-anak mereka sehingga ianya menjadikan kebanggaan bagi Rasulullah saw di akhirat nanti dengan banyaknya zuriat yang soleh yang meneruskan tugas risalah RasulMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen


Friday, November 26, 2010

*****Mencari Erti Sebuah Perkahwinan*****


Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.
Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa.
Ketika nabi Adam tinggal di syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.
Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."
Berkahwin Kerana Ibadah
Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.
Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.
Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah.
Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.
Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah SAW. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku".
Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.
Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.
Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan Al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga.
Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.
Cinta Dan Kasih Sayang
Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam.
Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti.
Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap baitul muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.
Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerna firtah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum:30 :
"Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."
Tarbiyah Dan Pendidikan
Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali.
Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa.
Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.
Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.
Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung Al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.
Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan iman dan akhlak anak-anak mereka.
Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.
Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 34 bermaksud:
"Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan). Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.
Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang.
Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.
Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak.
Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri.
Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.
Ibu Bapa Mithali
Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali.
Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan.
Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan Al-Quran yang betul.
Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah SAW.
Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.
Keindahan perkahwinan Baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.
Kehadiran putera dan puteri serta cucu Baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah.
Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.
Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri.
Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan.
Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya.
Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan.
Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan iman.

Ehem, Gambar Muslimahkah Itu?


Terkadang bila melayari facebook dan weblog rakan-rakan, saya merasa hairan melihat sesetengah facebook dan weblog muslimah yang bertudung dan yang menutup aurat; mereka tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.
Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda wahai muslimah sekalian, namun sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda letak itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu yang enggan melihat wajah-wajah itu dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ia ditutup dari pandangan umum?
Muslimahku, dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya.
Dikalangan mereka, ada yang bagus; yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa Yang mereka kerjakan."
Hati Yang Sakit Bertambah Sakit.. Kasihanilah Masyarakat..
Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.
Muslimahku, kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih pantas; sesegera mee segera.
Alangkah malangnya andai wajah-wajah yang terpamer itu mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki. Lelaki yang mantap imannya akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda... untuk menikahi anda tidak mengapa, tetapi jika sekadar mahu memuaskan nafsu?
Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin ia juga fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi dan dengan perkongsian itu, secara tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, berhati-hatilah!
Jalan Penyelesaian?
Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya.
Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Adakah memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?
Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan perkongsian atau posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar kepada rakan muslimah anda itu.
Ingat, wajah anda adalah anugerah Allah SWT.
Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.
Selamat bermujahadah sahabat muslimahku!

Tuesday, November 23, 2010

Bila Kasih Diberi, Mengapa Dikhianati?


Saya berbual dengan seorang sahabat tentang kasih sayang. Juga tentang bagaimana menghargai kasih sayang yang dikurniakan. Sebelum saya huraikan hasil perbualan kami, saya ingin menyoal anda dengan pertanyaan saya ini.
Kamu fikir, siapakah sebenarnya yang paling sayang kepada kamu?
Mungkin ada yang menjawab ibu, pasangan hidup, sahabat karib, dan lain-lain. Mungkin. Tetapi, jika ada yang memberikan jawapannya adalah Allah, ketahuilah bahawa jawapan kamu itu bersamaan dengan jawapan saya.
Ya, yang paling sayang kepada kita ialah Dia. Pencipta kita. Pembuat kita. Allah.
Bayangkan, kita sebagai manusia yang lemah ini pun akan sayang kepada sesuatu yag dihasilkan dengan titik peluh kita sendiri, bagaimana pula dengan Dia yang mengakui secara jelas bahawa Dialah Yang Maha Penyayang.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Perasaan Sayang Yang Makhluk Miliki Adalah Kurniaan Allah
Kita biasa melihat betapa sayangnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Juga perasaan sayang seorang iteri kepada suaminya. Namun, biasakah kita melihat bahawa perasaan sayang mereka ini, Allahlah yang mengurniakannya kepada mereka.
Berkenaan perkara ini, sahabat nabi, Abu Hurairah R.A. ada  meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya,
"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah telah menjadikan kasih sayangNya terbagi dalam seratus bahagian. Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi. Dari satu bahagian itulah para makhluk saling kasih-mengasihi sehingga seekor ibu binatang mengangkat cakarnya dari anaknya kerana takut melukainya." [riwayat Imam Muslim]
Bayangkan, betapa banyaknya kasih dan sayang yang Allah miliki. Maka betapa besarnya pula kasih sayang Allah kepada manusia kerana manusialah makhluk yag paling dikasihiNya.
Pernah suatu hari Sayyidina Umar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab: "Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya."
Begitu sekali kasihnya Allah kepada hambaNya. Tidakkah kita patut berfikir untuk menghargainya?
Menghargai Kasih Sayang Allah
Kita ini, bila kita tahu ibu bapa sayang kepada kita, kita jadi tak tergamak untuk lukakan hati mereka. Tak sampai hati hendak buat perkara yang mereka tak suka kita buat. Tetapi, kita buat juga secara sembunyi.
Namun, Allah lain. Dia tak sama dengan orang yang kita sayang. Allah, bila Dia menyuruh kita berbuat sesuatu, atau melarang kita dari melakukan sesuatu yang lain, Dia sentiasa Melihat kita. Maka, di sinilah nilaian kepada sejauh mana kita menghargai kasih dan sayang yang Allah berikan.
Adakah kita tetap buat yang Allah larang?
Atau masih tak laksanakan perkara yang Dia suruh?
Sedangkan Dia tetap melihat apapun yang kita lakukan.
Tinggalkan Dosa Kerana Hutang Kasih
Kita selalu dengar ustaz-ustaz kita pesan supaya tinggalkan maksiat kerana setiap maksiat kita itu balasannya adalah neraka Allah. Neraka pula azabnya tidak terfikir oleh otak, tidak terucap pula oleh lidah. Betapa dahsyat.
Tapi masih ramai yang tidak tinggalkan maksiat.
Jadi, selain dari ancaman azab-azab yang sangat mengerikan itu, saya ingin mengajak kita kepada menghindar maksiat dengan menginsafi bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang kasih kepada Allah. Sangat banyak. Kasih Allah kepada kita bukan sekadar semasa kita hidup, bahkan sebelum kita hidup dan selepasnya.
Diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tatkala Allah menciptakan makhluk, Allah telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada di sisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku" [riwayat Imam Muslim].
Sahabat-sahabat, tergamaknya kita membalas kasih sayang Allah dengan kemungkaran. Hamba apakah kita ini?