Syeikh Al-Banjari – ulama’ yang dibesarkan di istana.
Rakyat Malaysia, apabila mengkaji salasilah keturunan mereka ada yang mengaku dari utara (Patani) atau dari Barat, ataupun dari Selatan (Indonesia), dengan menyebutnya sebagai keturunan Acheh, Minang, Jawa ataupun Bugis dan Banjar.
Kaum Banjar ini sudah pastinya daripada suku Banjar yang pada umumnya berasal dari kawasan Kalimantan selatan, sebuah negara bahagian (provinsi) di Indonesia, di mana ibu negerinya bernama Banjarmasin. Kawasan ini pada masa dahulunya memang salah satu benteng kekuatan umat islam di Nusantara selain Acheh, Minang, Jawa Barat, Jawa Timur, Lombok dan Sulawesi Selatan (kawasan suku Bugis).
Ramai ulama’ besar, pejuang dan aktivis gerakan islam berasal dari tempat ini. Salah satunya adalah Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, nama Banjar dinisbahkan daripada asal dan suku keturunannya. Di lahirkan pada 19 Mac 1710 bersamaan 15 Safar 1122 Hijrah, daripada pasangan Abdullah dan Siti Aminah. Daripada kecil sudah Nampak kelainan pada dirinya yang membezakan dengan kawan-kawannya, sangat patuh dan takzim kepada kedua-dua orang tuanya dan begitu santun dan jujur dalam pergaulan bersama sahabat-sahabatnya.
Dari umur yang sangat belia dia sudah menampakkan kecerdasan berfikir, mempunyai minat dalam bidang seni terutamanya seni lukis dank hat (kaligrafi islam). Kerana kecerdasan, bakat dan kecekapannya, di kala kunjungan sultan ke kampung-kampung terlihatlah baginda lukisan kaligrafi islam yang ternyata lukisan Arsyad, akhirnya membuat sultan Banjar, Sultan Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah, berkenan dengan keperibadian anak kecil ini, dengan mengajaknya tinggal di istana umurnya pada masa itu baru 8 tahun.
Walaupun sebetulnya kedua-dua orang tuanya agak keberatan, tetapi kerana niat baik dan tulus daripada sultan, kehendak sultan akhirnya diperkenankan. Kepandaiannya membuat semua warga istana sayang dan hormat kepadanya, bahkan sultan pun memperlakunya seperti anaknya sendiri. Pada umur 30 tahun, sultan menghantarnya ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu islam. Sebelum berangkat, beliau dinikahkan dengan seorang gadis solehah bernama Banjut. Anak pertamanya perempuan kemudiannya dinikahkan dengan Syeikh Abdul Wahab Bugis.
Belajar dengan syeikh dan ulama’ ternama pada masa itu, antara gurunya ialah Syeikh Athailah Ahmad al Mishry. Nama Arsyad cukup dikenali di Makkah, kerana keluasan ilmu yang dimilikinya, khasnya dalam bidang Qiraat, beliau bahkan mengarang kitab Qiraat 14 yang bersumberkan daripada Imam Syatibi. Hebatnya setiap juzuk kitab tersebut dilengkapi dengan kaligrafi khas Banjar.
Selama mendalami ilmu islam yang khusus, beliau juga sangat memahami ilmu-ilmu geografi, biologi, matematik, geometri dan astronomi. Dengan izin gurunya diberikan kepercayaan mengajar dan memberikan fatwa di Masjidil haram, setelah itu tidak puas belajar di Makkah, beliau meneruskan pengajian di Madinah, belajar dengan Imam Haramain Syeikh al-Islam Muhammad Sulaiman al-Kurdi dan al-‘Arif Syeikh Muhammad Abd Karim al-Samman al-Hasani al-Madani di sini belajar hampir lima tahun.
Belajar di Makkah dan Madinah, sudah pasti beliau mempunyai ramai sahabat terutama dari tanah Jawi (Indonesia) mereka di antaranya ialah Syeikh Abdul Samad al-Palimbani, Abdul Wahab Bugis dan Syeikh Abdurrahman Masri, ketiganya berasal dari Palembang, Bugis dan Jakarta. Keempat sahabat ini disebut dengan panggilan “Empat Serangkai Dari Jawa”. Pada awalnya empat serangkai ini mahu melanjutkan pelajaran ke Mesir, namun atas nasihat Syeikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi, sebaiknya mereka pulang ke kampung masing-masing untuk membangun umat, kerana ilmu yang dimiliki sudah cukup dan tidak perlu lagi pergi ke Mesir.
Sebelum kembali ke Banjar, bersama Syeikh Abdul Wahab Bugis, Syeikh Arsyad singgah dulu di Jakarta, tempat Abdurrahman Masri, untuk memperbetulkan arah kiblat, masjid yang dibetulkan arah kiblatnya adalah Masjid Jembatan Lima, Masjid Luar Batang dan Masjid Pekojan. Al-Banjari kemudian pulang ke kampungnya di Martapura, ibu negeri kesultanan Banjar pada masa itu dan beliau tidak pulang ke istana tetapi meminta kepada sultan agar diberi sebidang tanah untuk membangunkan sekolah agama dan pondok pesantren.
Langkah awal yang dilakukannya ialah melahirkan pelapis para ulama’. Tanah pemberian sultan berubah menjadi perkampungan islam, di dalamnya ada rumah, tempat pengajian, perpustakaan, dan asrama untuk para pelajar (santri). Selain itu, perkampungan tersebut bukanlah hanya sekadar tempat belajar dan mengajar tetapi persekitarannya di bangunkan persawahan yang produktif dan kebun sayur serta membangunkan sistem saliran yang dapat dinikmati oleh penduduk dalam perkampungan dan rakyat sekitarnya.
Selain itu, beliau juga sibuk mengajar dan berdakwah secara langsung di tengah-tengah masyarakat tidak mengira sama ada di bandar ataupun di desa, di dalam istana ataupun untuk rakyat biasa, dakwahnya mendapat sambutan hebat dari masyarakat, sehingga semangat untuk beragama semakin di rasakan dan ilmu islam berkembang dengan subur. Dan yang paling utama adalah beliau menganjurkan kepada pemerintahan Kesultanan Banjar agar islam dapat dilaksanakan hukum-hakam islam dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.
Pada masa inilah, dilihat hukum islam bukan hanya berkaitan dengan faraidh (harta waris) atau hukum keluarga sahaja, tetapi juga dilaksanakan dari sudut jenayahnya diamalkan sebagaimana orang bunuh dihukum bunuh, potong tangan bagi para pencuri, dera atau rejam bagi penzina dan hukuman mati bagi orang islam yang murtad sudah pasti ianya dilaksanakan dengan saksama dan seadil-adilnya. Dimana beliau menasihatkan agar dibentuk Mahkamah Syariah dan Lembaga Qadi, kebetulan untuk mahkamah syariah ini yang pertama menjadi ketuanya ialah cucu Syeikh Arsyad sendiri iaitu Syeikh Muhammad As’ad dan ketua Qadi adalah anaknya iaitu Abu Zu’ud, kedua-duanya adalah ulama’-ulama’ yang lahir dan dididik secara langsung oleh Syeikh Arsyad.
Oleh Almarhum Wan Shagir Abdullah beliau digelar “Matahari Islam Nusantara” dan bekas menteri agama Indonesia Prof Kyai Haji Saifuddin Zuhri, menyebutnya sebagai “Mercusuar Islam Kalimantan” dan bagi Prof Dr Azyumadi Azra, mantan rektor Universiti Islam Syarif Hidayatullah Jakarta, Syeikh Arsyad disebut sebagai seorang ulama’ yang memiliki peranan penting dalam jaringan ulama’ Nusantara, seorang ulama’ yang mula-mula mengasaskan institusi pendidikan islam dan memperkenalkan idea-idea baru dalam pengembangan islam di Kalimantan, Syeikh Al-Banjari sudah menjadi ikon dan rujukan sejarah islam dari tanah Banjar.
Dan sudah pasti kelebihan beliau adalah sangat produktif menulis kitab terutama dalam bidang fiqh. Antaranya ialah kitab an-Nikah, kitab al-faraidh, Khasiyah Fathal Jawad, kitab Tauhid, Tuhfa ar Ragibun fi Bayan Haqiqah Iman al-Mu’minin wa ma Yubsiduhu min Riddah al-Murtadin, Al-Qaul al-Mukhtasar fi Alamah al-Mad al-Mutazar, Terjemah Fath ar Rahman, Kanz al-Ma’rifat dan yang paling terkenal adalah kitab Sabila Muhtadin (jalan orang-orang yang mendapat petunjuk).
Kitab ini terbahagi kepada dua jilid dengan 524 muka surat, ditulis dalam bahasa Arab, inilah karya monumental Syeikh Arsyad dan sangat terkenal bahkan digunakan bukan hanya di Indonesia, tetapi juga di Masjidil haram, Tanah Melayu dan Siam. Bahkan sehingga ke hari ini, kitab ini masih jadi rujukan dan merupakan kitab kedua terkenal dan bahasanya sangat baik kitab as Shirat al-Mustakim (jalan lurus) karya Syeikh Nuruddin ar Ranira.
Ulama’ besar ini meninggalkan dunia yng fana ini tatkala berumur 105 tahun pada tahun 1812 dan dikebumikan di kampung Kalampayan tempat isterinya yang jaraknya 56 kilometer dari Banjarmasir.
Ulama’ agung ini namanya masih disebut sampai ke hari ini dan salah seorang keturunan yang ketujuh adalah KH Muhammad Arifin Ilham (41 tahun) penggerak Majelis Zikir Az Zikra di Jakarta dan termasuk yang selalu menyuarakan perlunya dilaksanakan syariat Islam di Indonesia, sebagai penyelesai daripada segala masalah sosial, politik, ekonomi dan kehidupan rakyat Indonesia.
No comments:
Post a Comment