Kisah penentang para anbiya & rasul-rasul
Dalam catatan sejarah, ada di kalangan nabi dibunuh oleh kaumnya. Contohnya Nabi Yahya dan Nabi Zakaria a.s dibunuh kejam oleh kaumnya, dengan menanam hingga ke paras pinggang lalu digergaji hingga terbelah dua. Dibunuh kerana nabi berkenaan pertahankan kebenaran, ajaran berdasarkan tauhid Allah S.W.T hingga ke akhir hayatnya. Ketegasan pendirian mereka amat jelas, jika putih tetap dikata putih tanpa berdolak dalih. Meskipun nabi berkenaan menemui ajalnya tetapi akhirnya ajaran mereka diterima juga oleh sebahagian manusia.
Sebagaimana kisah firaun yang kejam sehingga kanak-kanak yang tidak berdosa dibunuh untuk menyekat hakikat berita, dikhabarkan oleh para nujumnya yang mengatakan bakal muncul seorang yang akan menentangnya. Namun firaun gagal menyekat kemunculan orang yang dibimbangi, akhirnya dengan takdir Allah S.W.T orang yang ditakuti kemunculannya itu dibesarkan di dalam istananya sendiri. Oleh kerana usaha Nabi Musa a.s. berdakwah dan mengajar tidak kenal jemu dan putus asa, walaupun firaun dan menteri-menterinya melawan tetapi dengan senyap isteri firaun turut menganuti ajaran Nabi Musa a.s. Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata ; hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu. ” (Surah Al-Qasas ayat 20).
Lelaki yang datang memberitahu Nabi Musa a.s. semestinya orang yang beriman dangan Nabi Musa, menunjukkan selain dari isteri firaun terdpat juga lelaki yang beriman dengan ajarannya. Walapun Musa ditentang dan dihalang, kesudahan ajarannya diterima juga oleh segolongan manusia. Nabi Musa a.s bukan sahaja berjaya dalam dakwah senyapnya, hingga ramai di kalangan rakyat jadi pengikut Musa beriman kepadanya. Malah berjaya membawa pengikutnya menyelamatkan diri dari ancaman maut firaun. Dengan pertolongan Allah S.W.T maka lautan yang jadi halangan, terbelah menjadi lebuhraya selamat untuk Nabi Musa a.s dan pengikutnya. Sebaliknya ia jadi perangkap maut kepada firaun dan tenteranya. Demikianlah kisah sejarah nabi-nabi yang terdapat dalam al-Quran.
Adapun sejarah orang-orang jahat, terdiri daripada para penentang yang mendustakan nabi-nabi dan para rasul a.s wassalam terdapat dalam al-Quran. Antaranya ialah bangsa ‘Aad dan Tsamud yang kini pupus generasi keturunannya dilenyapkan oleh Allah S.W.T daripada muka bumi ini. Bangsa yang pada zamannya bertamadun tinggi, sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap ‘Aad?,” “Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi,” “yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu di negeri lain,” “dan kaum Tsamud yang memotong batu besar dilembah, dan kaum firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak).” (Surah Al-Fajar ayat 6 hingga 10).
Bangsa yang gagah perkasa dan bertamadun tinggi pun boleh dilenyapkan, baka generasinya pupus daripada muka dunia ini. Insan daripada kalangan bangsa yang miskin dan lemah takkan Allah S.W.T tidak boleh lenyapkan juga sekiranya terdiri daripada penentang nabi dan rasul a.s wassalam. Dengan demikian akan rasa gerun dan gentar untuk mengingkari, apatah lagi mencabar Allah S.W.T dan utusanNya seperti kaum ‘Aad dan Tsamud. Demikianlah kisah golongan penentang para nabi dan rasul termuat dalam al-Quran. Sewajarnya menjadi iktibar dalam kehidupan insan beriman.
Kesan yang mendalam di hati pembaca al-Quran yang memahami maksudnya, iaitu merasa dukacita takut dan penuh harap, sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): ‘janganlah kanu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; gembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu’. “Kamilah pelindungmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kamu perolehi apa yang kamu inginkan dan memperolehi (pula) di dalamnya apa yang kamu pinta. ” (Surah Fussilat ayat 30 & 31). Ayat ini menceritakan bahawa orang yang beriman, istiqamah dan cekal hatinya dengan keimanan, Allah S.W.T turunkan malaikat lalu tiupkan ke dalam hatinya semangat, menyebabkan dia merasa lekeh terhadap pengaruh dan rintangan duniawi. Dan perlihatkan gambaran syurga jelas di hatinya hingga rela tinggalkan kemilau duniawi.
Hingga dia rela bangun pada waktu malam yang dingin untuk mencari kelebihan daripada Allah S.W.T melalui solat malam, kerana dia telah terbayang dan ternampak-nampak kegemilangan syurga yang ditayangkan oleh Allah S.W.T. Terkesan di hati apabila berdepan dengan ayat-ayat Allah S.W.T yang bersifat ‘Ar-Rojaa’ (menaruh harapan). Antara kesan membaca al-Quran ialah merasa takut hendak melakukan perkara maksiat yang membawa dosa. Ini kerana dosa itu membawa kepada kemurkaan Allah S.W.T, yang mengakibatkan kepada terjerumusnya ke kawah azab neraka.
No comments:
Post a Comment