Friday, November 5, 2010

Transformasi alam rahim ke dunia nyata





Struktur Jantung Manusia

Jantung manusia terdiri daripada empat ruangan; atrium kiri, atrium kanan, ventrikel kiri dan ventrikel kanan. Kedua-dua atrium terpisah oleh septum interatrium, sementara ventrikel terpisah antara satu sama lain oleh septum interventrikel. Setiap atrium berhubung dengan ventrikel masing-masing melalui pembukaan berinjap yang membenarkan darah mengalir dalam satu arah, iaitu dari atrium ke ventrikel.

Dari ventrikel kiri, darah akan akan dipam ke seluruh bahagian tubuh melalui aorta untuk membekalkan oksigen dan kembali semula ke atrium kanan dalam keaadaan ternyah oksigen. Dari atrium kanan, darah akan dipam ke ventrikel kanan dan akhirnya ke paru-paru melalui arteri pulmonari untuk proses pengoksigenan semula sebelum darah kembali ke atrium kiri dan ventrikel kiri.

Ringkasnya,

* sistem kardiovaskular kita terdiri dari dua aliran; aliran pulmonari (untuk proses pengoksigenan) dan aliran sistemik (untuk menghantar oksigen ke tisu-tisu)

* Darah yang ternyah oksigen (darah yang kembali ke atrium kanan ) tidak akan bercampur dengan darah yang teroksigen (darah yang masuk ke atrium kiri) dengan adanya septum-septum pemisah.

Walaubagaimanapun, sistem peredaran darah ini cukup berbeza bagi bayi dalam kandungan.

Bayi dalam kandungan

Ketika di alam rahim, paru-paru bayi tidak dapat berfungsi untuk proses pengoksigenan dan bayi bergantung sepenuhnya kepada ibu untuk membekalkan oksigen. Darah teroksigen dari ibu dibekalkan melalui placenta. Darah dari palcenta dan darah yang kembali ke jantung akan masuk ke atrium kanan dan ini menyebabkan tekanan di atrium menjadi tinggi. Dalam pada itu, disebabkan hanya sedikit sahaja darah yang pergi ke paru-paru dan kembali ke atrium kiri,maka tekanan di atrium kiri menjadi rendah.

Selain daripada itu, ketika di alam rahim, atrium kanan dan kiri bayi tidak terpisah,sebaliknya kedua-dua atrium ini berhubung melalui satu lubang yang dipanggil foramen ovale.Disebabkan oleh tekanan di atrium kanan lebih tinggi dari atrium kiri, darah akan mengalir dari atrium kanan ke kiri. Darah yang telah bercampur ini kemudiannya akan dipam ke ventrikel kiri sebelum dipam ke seluruh bahagian badan.

Seperti yang dijelaskan di atas, darah akan dipam ke paru-paru melalui arteri pulmonari dan darah yang masuk ke ventrikel kiri akan dipam ke seluruh bahagian tubuh melalui aorta. Di alam rahim, proses yang sama berlaku tetapi bezanya ketika di dalam kandungan, arteri pulmonary dan aorta ini saling berhubung melalui ductus arteriosus.

Tangisan Pertama Bayi

Setelah berada di alam rahim lebih kurang sembilan bulan, janin yang sudah sempurna penciptaannya dilahirkan ke dunia. Dunia ini terasa begitu asing bagi sang bayi yang telah berada di rahim ibunya begitu lama. Satu tranformasi dari dunia kegelapan ke dunia nyata yang terang-benderang.

“ Dia menjadikan kamu dalam perut ibumu kejadian demi kejadia dalam tiga kegelapan” (Az-Zumar:6)

Mendengar tangisan pertama bayi sungguh mengharukan dan memilukan bagi seorang ibu yang telah berhempas pulas menahan kesakitan. Sepenuh kesyukuran dilimpahkan ke hadrat Allah s.w.t.

Melalui proses kelahiran, bekalan oksigen dari ibu melalui ari-ari (placenta) telah terputus dan bayi perlu berdikari untuk bernafas sendiri. Dan tangisan pertama itu adalah permulaannya. Ketika mana bayi memulakan pernafasan, rintangan terhadap edaran pulmonari menurun dan menyebabkan aliran darah ke paru-paru meningkat enam kali ganda.

Jumlah darah yang masuk ke atrium kanan juga menurun kerana jantung tidak lagi menerima bekalan dari ari-ari (placenta). Akibatnya, tekanan di atrium kanan menurun berbanding tekanan di atrium kiri. Perbezaan tekanan ini menybabkan foramen ovale (lubang antara atrium kanan dan kiri) tertutup.

Selain itu, ductus arteriosus (menghubungkan arteri pulmonary dan aorta) juga tertutup dan proses ini selalunya mengambil masa dalam beberapa jam atau hari selepas kelahiran. Dalam masa beberapa minggu, jantung bayi sudah boleh berfungsi seperti orang dewasa.

Penyakit Jantung Kongenital

Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Terdapat segelintir bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan pada pembentukan jantung dan tidak dapat berfungsi seperti orang dewasa. Bayi yang menghidapi Penyakit Jantung Kongenital selalunya akan menunjukkan tanda-tanda kegagalan fungsi jantung dalam beberapa minggu. Antaranya:

* Muka bayi kelihatan biru
* Sesak nafas
* Kurang menyusu
* Selalu terkena jangkitan paru-paru

Walaubagaimanapun, kegagalan fungsi jantung ini kadang-kala tidak menunjukkan sebarang tanda .

Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan Congenital heart disease antaranya:

* Penyakit ibu semasa mengandung
* Terkena jangkitan Rubella
* Systemic lupus erythematosus (SLE)
* Penyakit Kencing manis
* Ubat-ubatan yang diambil semasa mengandung contohnya warfarin (ubat untuk mencairkan darah), dan tidak kurang juga meminum arak ketika mengandung
* Genetik contohnya Down’s syndrome

Hidup adalah satu pengembaran

Ketika di alam rahim, kita berada dalam kegelapan. Setelah sempurna penciptaan, kita akhirnya dilahirkan ke dunia melalui satu proses kelahiran, sang ibu bertarung bermati-matian untuk melihat wajah comel anaknya. Kita menangis, kita dalam ketakutan kerana dunia ini begitu asing bagi kita. Kita sentiasa mendambakan pelukan mesra sang ibu. Dengan nikmat pancaindera mata yang Allah s.w.t kurniakan, kita akhirnya mampu melaihat dunia.

Subhanallah, dunia ini begitu cantik!

Semakin hari kita semakin membesar, dan sekarang kita sudah dewasa.

“Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis air mani, sesudah itu dari segumpal darah,kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian kamu dibiarkan hidup supaya kamu sampai kepada masa dewasa, kemudian dibiarkan kamu hidup lagi sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. Kami perbuat demikian supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahaminya.” (Surah Al-Mu’min: 67)

Jumarni Bte Abdurachman

“Hidup untuk agenda Allah”

No comments:

Post a Comment